Tuesday, September 26, 2017

Sumbangan ilmu

Assalamualaikum wbt
Baru-baru ini kita digemparkan dengan tragedi kebakaran sekolah tahfiz di Keramat yang menyebabkan 23 orang terkorban. Kejadian menyayat hati ini mendapat liputan meluas. NIOSH misalnya mengambil tanggungjawab untuk melihat aspek keselamatan di semua sekolah termasuk maahad tahfiz di seluruh negara. “Keselamatan anak-anak dan guru perlu diberi keutamaan dan ini tugas baru untuk NIOSH untuk bersama-sama kerajaan tentukan supaya sekolah di negara ini selamat dan mematuhi piawaian keselamatan” (Berita Harian Online).
Pada saya ia suatu yang amat serius dan dikesali kerana peristiwa sesumpama ini bukan sekali terjadi melibatkan sekolah tahfiz dan agama, tetapi telah berlaku berulang kali. Insiden paling tragis pada tahun 1989 melibatkan 27 jiwa terkorban. Kemudian kes-kes kebakaran melibatkan institusi ini terus kedengaran. Apakah punca tragedi? Di manakah silapnya? Justeru, saya bersama rakan-rakan (Amir & Azam) menyahut saranan untuk turut menyumbang secara kecil terhadap maahad tahfiz.
Pertemuan pertama dengan penyelaras maahad tahfiz membincangkan skop sumbangan yang boleh diberikan. Dalam konteks ini, kami merancang untuk memberi taklimat dan latihan kepada pihak pengurusan maahad dan pelajar. Selain itu aspek audit dan pemeriksaan sekitar sekolah juga akan dilakukan untuk mengenalpasti potensi risiko kebakaran yang wujud. Khidmat nasihat dan bimbingan terhadap  keselamatan dan kesihatan diberikan secara percuma. InsyaAllah.