Pada 14 dan 15 Februari 2017 yang lalu, sesi penaksiran risiko ergonomik dilaksanakan di lynas Malaysia Sdn Bhd bertempat di kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan. Program ini bermatlamat untuk mengenalpasti faktor risiko yang berpotensi menyebabkan gangguan rangka-otot pekerjaan dalam skop pekerjaan kendalian manual di beberapa sektor dan proses rutin dan kritikal premis. Penilaian risiko diketuai oleh Prof. Shukor dibantu oleh saya dan rakan.
Lynas Malaysia Sdn. Bhd. merupakan sebuah loji pemprosesan bahan nadir bumi yang terkandung dalam tanah. Produk akhir yang dihasilkan digunapakai untuk industri elektrik dan elektronik yang amat penting dalam teknologi termaju masakini.
Program meliputi empat peringkat iaitu, taklimat tugas merangkumi skop penilaian, lokasi dan individu pekerja yang terlibat. Kemudian disusuli dengan penilaian lapangan merangkumi analisis tugas, pemerhatian dan rekod aktiviti pekerjaan yang berisiko. Sesi temubual bersama pekerja dilaksana bagi memastikan maklumat-maklumat penting diperolehi terus daripada mereka. Respons mereka penting untuk menguatkan dapatan pemerhatian dan analisis tugas. Alhamdulillah para pekerja memberi kerjasama yang amat baik.
Kesimpulannya, program penaksiran ergonomik merupakan salah satu langkah proaktif untuk mengurangkan risiko pekerjaan di industri khususnya melibatkan isu kesihatan pekerjaan. Pihak premis yang telah melaksanakan program penaksiran ergonomik dapat menjimatkan kos rawatan dan kecederaan pekerjaan mencapai 70% selepas intervensi ergonomik dilakukan. Pendek kata, program sebegini memberi serampang dua mata kepada pihak syarikat dalam meningkatkan produktiviti sekaligus reputasi cemerlang tercapai.
No comments:
Post a Comment