Saturday, April 29, 2017

Kolokium sains kesihatan Universiti Selangor

Pada 28 April 2017 yang lalu berlangsung kolokium Sains Kesihatan Universiti Selangor. Kolokium ini menjadi platform kepada mahasiswa membentangkan hasil penyelidikan mereka bersama warga universiti dan umum. Sehubungan dengan itu mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kepujian) turut tidak melepaskan peluang berkongsi dapatan penyelidikan mereka. Salah seorang daripadanya adalah pelajar seliaan saya yang mempersembahkan hasil penyelidikan beliau berkisar tentang penaksiran risiko gangguan rangka-otot di sektor automotif dalam negara. Kaedah taksiran yang digunakan adalah Analisis Pergerakan Kerja dan Tugas atau dalam bahasa inggerisnya 'Work Movement Task Analysis'. Kaedah ini dibangunkan oleh saya dan telah terbukti berkesan dalam penaksiran risiko gangguan rangka-otot di lapangan. 


Analisis pergerakan kerja dan tugas sesuai digunapakai sebagai pendekatan proaktif dalam menangani isu-isu ergonomik tempat kerja. Ia sejajar dengan program SOHELP (Systematic occupational health enhancement level programme) yang baru-baru ini telah dilancarkan. Moga WMTA suatu ketika nanti boleh dijadikan medium untuk penaksiran risiko gangguan rangka-otot pekerjaan dalam program SOHELP. 

SOHELP bermatlamat untuk membudaya nilai-nilai kesihatan pekerjaan di kalangan pengiat industri secara tersusun; merangkumi isu kebisingan tempat kerja, ergonomik dan pengurusan bahan kimia. Oleh yang demikian kaedah penaksiran risiko gangguan rangka-otot pekerjaan yang telah dihasilkan ini bertepatan dengan masa dan gagasan yang diwacanakan.

Friday, April 21, 2017

Sakit Belakang, penyakit semulajadi semua orang?


Gangguan rangka-otot adalah masalah yang kesihatan yang melibatkan kesan tidak baik pada otot, tendon, ligamen, saraf atau lain-lain tisu lembut dan sendi (HSE, 2007). Manakala Hagberg, et al., (1995) menyatakan bahawa gangguan rangka-otot yang disebabkan pekerjaan merangkumi pelbagai masalah otot, tendon atau saraf yang disebabkan oleh kerja-kerja rumit. Iaitu pekerjaan yang memerlukan tenaga yang tidak berlebihan dan postur tubuh badan yang tidak semulajadi. Bahagian belakang badan, leher dan anggota badan atas adalah yang berisiko tinggi untuk mendapat gangguan tersebut.

Sakit belakang bawah (SBB) ditakrifkan sebagai kesakitan yang kronik atau akut di kawasan lumbosacral, punggung atau di kawasan kaki ke atas. Banyak kajian berkaitan sakit belakang khasnya SBB telah dilaksanakan (Burdorf and Sorock, 1997; Hoogendoorn, et al., 1999). SBB adalah punca lazim hilang upaya bekerja untuk pekerja yang berumur di dalam lingkungan 45 tahun dan ke bawah. Jika dilihat, lingkungan umur 45 tahun dan ke bawah adalah golongan yang masih aktif bekerja, maka apa yang dapat difahami adalah terdapatnya kaitan SBB dengan pekerjaan. Hal ini terbukti apabila dimaklumi bahawa kadar pampasan dan pembiayaan perubatan yang diberikan kepada pesakit SSB adalah paling tinggi berbanding penyakit lain. Di Amerika Syarikat sahaja, jumlah kos tahunan SSB melebihi 100 juta Dollar Amerika (Katz, 2006).

Di Malaysia, berdasarkan kajian di sektor pembuatan automotif menunjukkan kelaziman SBB dalam tempoh 12 bulan adalah tinggi di bahagian pemasangan rangka kereta di kalangan pekerja pengeluaran iaitu 87.5% (Anuar et al., 2010). Manakala kajian gangguan rangka-otot belakang badan yang melibatkan pekerja perladangan kelapa sawit pula menunjukkan peratusan sebanyak 67.0%.

Ferguson dan Marras (1997) mencadangkan mekanisma bersangkutan dengan sakit belakang bawah menurut faktor masa. Mereka berhujah bahawa kesakitan sakit belakang bawah bermula dengan pekerjaan bebanan fizikal melampau, gejala ketidakselesaan, tanda/simptom, gangguan (kecederaan atau kesakitan), insiden, kecederaan hari terbatas, kecederaan masa hilang dan hilang upaya. 

Berdasarkan urutan ini, pekerja pada mulanya bekerja dengan bebanan fizikal berisiko seperti berat melampau, postur janggal dan pergerakan berulang-ulang. Pekerjaan tersebut membuatkan pekerja merasa tidak selesa. Dari masa ke semasa, mereka dapat merasai tanda-tanda awal sakit belakang seperti sengal-sengal pinggang. Tetapi sekiranya tiada sebarang langkah pembaikan dibuat, akan tiba masa pekerja akan merasai kesakitan belakang yang sangat kerap dan semakin jelas. 

Disebabkan gangguan tersebut, mereka melaporkan ke klinik atau hospital. Dignosis pengamal perubatan menjelaskan bahawa mereka mengidap penyakit rangka-otot di bahagian belakang badan bawah. Pengamal perubatan juga menasihatkan pekerja supaya mengelakkan diri kerja-kerja berisiko tinggi yang boleh menyebabkan penyakit menjadi semakin kritikal. Tetapi, jika pekerja masih bekerja dalam keadaan berisiko, penyakit ini menjadi semakin serius dan menyebabkan mereka terpaksa mengambil cuti dan berjumpa pengamal perubatan lagi. 

Keadaan tersebut menyebabkan pengamal perubatan terpaksa mensyaratkan pekerja untuk berehat panjang kerana dikuatiri penyakit menjadi semakin teruk jika terus bekerja. Disebabkan faktor itu, keadaan ini menyebabkan kecederaan masa hilang terjadi. Penyakit makin serius jika tidak dirawat dan mereka bakal menghadapi gejala ketidakupayaan. Pekerja mungkin menjadi OKU jika kecederaannya itu menyebabkan hilang upaya kekal. 

Keadaan ini menyebabkan pekerja menghadapi pelbagai kesusahan dan cabaran dari segi sumber mata pencarian, pergerakan dan kehidupan sehari-hari. Secara tidak langsung menyebabkan mereka mengalami tekanan perasaan dan akhirnya boleh mengakibatkan gejala saikologi pula.

Sebagai kesimpulan, faktor sakit belakang bawah tidak boleh dipandang enteng. Sebelum penyakit terjadi, maka moleklah kiranya kita memastikan keadaan tempat kerja dan tatakerja berada dalam zon selamat. Jika sudah terkena, ibarat sudah terantuk baru terngadah, tiada apa yang perlu dikesalkan lagi.

Rujukan

Anuar, I., Nurulakhmar, AS., Mazrura, S. and Azhar, AH. 2010. Study on backpain and the contributing factors among workers in automotive industry. Journal of Community Health 16 (2).

Burdorf, A. and Sorock, G. 1997. Positive and negative evidence of risk factors for back disorders. Scandinavian Journal of Work, Environment and Health 23(4):243-256.

Ferguson SA, Marras WS. A literature review of low back disorder surveillance measures and risk factors. Clin Biomech 1997;12:211–226.

Hagberg, M., Silverstein, B., Wells, R., Smith, M. J., Hendrick, H. W., Carayonn, P. and Perussen, M. 1995. Work related musculoskeletal disorders (WMSDs): a reference for prevention. London. Taylor and Francis.

Hoogendoorn WE, van Poppel MN, Bongers PM, Koes BW, Bouter LM. 1999. Physical load during work and leisure time as risk factors for back pain. Scand J Work Environ Health 25(5):387-403.

HSE Executive, 2007

Katz, JN. 2006. Lumbar disc disorders and low-back pain: socioeconomic factors and consequences. J Bone Joint Surg Am, 88:21-4.
Pendekatan rekabentuk selamat

1. Keserasian (Achieve fit)
2. Kebolehcapaian (Ensure reach)
3. Kelegaan selamat (Provide safe clearance)
4. Mencegah sangkut atau perangkap (Avoid entrapment)
5. Pengasingan (Provide exclusion)

Sumber: 

Kroemer K. H. E. 2006. Extra-odinary ergonomics - How to accommodate small and big persons, the disabled and elderly, expectant mothers, and children. CRC Press. New York. US.

Pernahkan kalian mengalami keadaan ini:


Anda sedang membuat suatu pekerjaan, tiba-tiba menerima panggilan telefon daripada rakan atau keluarga. Setelah tamat perbualan, anda ingin kembali kepada pekerjaan yang sedang dilakukan tadi, tetapi anda lupa. Puas cuba mengingati kembali, namun gagal. Waktu masuk tidur, tiba-tiba teringat kembali "Ooo rupanya aku sedang menyapu tadi.." mengeluh sambil membayangkan batang penyapu masih tersandar di belakang pintu.

Apa yang sedang anda alami adalah gejala 'luput ingatan', iaitu salah satu kesilapan yang sering dilakukan oleh manusia. Terutamanya ketika dibebani banyak tugas/kerja.

Ralat manusia secara asas terbahagi kepada tiga iaitu slip, luput dan salah (Slip, lapse & mistake).

Peri pentingnya mengetahui tahap dan jenis kesilapan manusia supaya penyelidik khususnya (Ahli forensik ergonomik) untuk mengetahui sebab-sebab kemalangan boleh berlaku selain dapat membentuk cadangan proaktif bagi menangani kemalangan.

Wednesday, April 5, 2017

Penaksiran risiko ergonomik (Ergonomic risk assessment)

Penaksiran risiko ergonomik bermatlamat untuk mengenalpasti, menganggar dan menilai risiko gangguan rangka-otot yang wujud di tempat kerja. Ia merangkumi penaksiran stesenkerja, proses kerja dan ciri-ciri individu pekerja. Prosedur penilaian menyediakan siasatan terperinci beban kerja untuk satu-satu jenis pekerjaan. Terdapat dua jenis penaksiran risiko ergonomik:
  1. Penaksiran risiko proaktif, dan
  2. Penaksiran risiko berdasarkan laporan PERKESO atau perubatan


Saturday, April 1, 2017

Titik Semakan Ergonomi - Ergonomic Checkpoints (ILO)

Titik semakan ergonomi (Ergonomic Checkpoints) adalah satu inisiatif pertubuhan buruh antarabangsa (ILO) yang diterbitkan pada 15 Julai 2010. Titik semakan ergonomi (TSE) bermatlamat untuk mengurangkan risiko kemalangan dan penyakit pekerjaan sekaligus memperbaiki keadaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. TSE merangkumi 132 penyelesaian terhadap masalah-masalah ergonomik di tempat kerja. Menariknya penyelesaian yang dicadangkan oleh TSE adalah praktikal. Keunikan TSE menyediakan illustrasi menarik memudahkan kefahaman pengguna terhadap elemen cadangan yang dilontarkan. Umumnya TSE terbahagi kepada beberapa bahagian utama iaitu
  1. penyimpanan dan pengendalian barang 
  2. perkakasan tangan 
  3. keselamatan jentera 
  4. rekabentuk stesenkerja
  5. pencahayaan premis
  6. kawalan bahan dan agen berbahaya
  7. kelengkapan kebajikan
  8. organisasi kerja
Titik semakan ergonomi telah diterjemah kepada pelbagai bahasa termasuklah bahasa melayu. Versi bahasa melayu boleh didapati di kedai-kedai buku yang dikenali seperti MPH. 

Muat turun Titik semakan ergonomi versi Bahasa Inggeris di sini: