Saturday, April 29, 2017

Kolokium sains kesihatan Universiti Selangor

Pada 28 April 2017 yang lalu berlangsung kolokium Sains Kesihatan Universiti Selangor. Kolokium ini menjadi platform kepada mahasiswa membentangkan hasil penyelidikan mereka bersama warga universiti dan umum. Sehubungan dengan itu mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kepujian) turut tidak melepaskan peluang berkongsi dapatan penyelidikan mereka. Salah seorang daripadanya adalah pelajar seliaan saya yang mempersembahkan hasil penyelidikan beliau berkisar tentang penaksiran risiko gangguan rangka-otot di sektor automotif dalam negara. Kaedah taksiran yang digunakan adalah Analisis Pergerakan Kerja dan Tugas atau dalam bahasa inggerisnya 'Work Movement Task Analysis'. Kaedah ini dibangunkan oleh saya dan telah terbukti berkesan dalam penaksiran risiko gangguan rangka-otot di lapangan. 


Analisis pergerakan kerja dan tugas sesuai digunapakai sebagai pendekatan proaktif dalam menangani isu-isu ergonomik tempat kerja. Ia sejajar dengan program SOHELP (Systematic occupational health enhancement level programme) yang baru-baru ini telah dilancarkan. Moga WMTA suatu ketika nanti boleh dijadikan medium untuk penaksiran risiko gangguan rangka-otot pekerjaan dalam program SOHELP. 

SOHELP bermatlamat untuk membudaya nilai-nilai kesihatan pekerjaan di kalangan pengiat industri secara tersusun; merangkumi isu kebisingan tempat kerja, ergonomik dan pengurusan bahan kimia. Oleh yang demikian kaedah penaksiran risiko gangguan rangka-otot pekerjaan yang telah dihasilkan ini bertepatan dengan masa dan gagasan yang diwacanakan.

No comments:

Post a Comment