Tuesday, December 27, 2016

Apakah Ergonomik?

Takrifan ergonomik telah dikupas oleh ramai cendiakawan dengan pelbagai sudut pandangan yang pelbagai. Namun, secara umumnya ergonomik adalah suatu bidang ilmu yang membicarakan soal tatakerja manusia. Aspek keserasian individu pekerja dengan pekerjaan merangkumi elemen persekitaran mikro dan makro, peralatan serta jentera dan orang-orang sekeliling. 

Pertubuhan ergonomik antarabangsa (IEA) mengelaskan domain ergonomik kepada tiga cabang utama iaitu ergonomik fizikal, kognitif dan organisasi. Takrifan ini memberi perhatian menyeluruh individu pekerja dengan proses kerja. Ergonomik fizikal tertumpu kepada keperluan dan keserasian sistem badan (anatomi, fisiologi dan pergerakan) dengan pekerjaan. Ada sesetengah pendapat meletakkan aspek fizikal seperti kebisingan, pencahayaan, bau, ruangkerja sebagai elemen ergonomik persekitaran. Parsons (2000) berpendapat bahawa ergonomik persekitaran adalah sebahagian displin ergonomik yang perlu dititikberat. Manakala ergonomik kognitif berkait rapat dengan proses pemikiran, penaakulan, daya ingatan dan membuat keputusan. Seterusnya aspek pengurusan kerja yang melibatkan organisasi juga diberi perhatian dalam konsep ergonomik. Organisasi dalam konteks ergonomik juga dikenali sebagai ergonomik makro.

Mutakhir ini muncul cabang baharu ergonomik yang diberi nama ergonomik hijau memperincikan lagi peranan ergonomik dalam persekitaran. Thatcher (2013) menghuraikan panjang lebar ergonomik persekitaran sebagai hubungan dwiarah manusia dengan persekitaran merangkumi rekabentuk, penilaian dan penyelesaian ergonomik dalam memastikan aspek alam semulajadi terpelihara tanpa menjejaskan kecekapan dan prestasi manusia. 

Rujukan Parsons K.C. (2000). Environmental ergonomics: a review of principles, methods and models. Applied Ergonomics 31(6) 581–594 

Thatcher A. (2013). Green ergonomics: definition and scope. Ergonomics 56(3):389-98

No comments:

Post a Comment