Tuesday, December 5, 2017


Pingat perak untuk produk yang dipamerkan pada Intellectual research & innovation showcase 2017. Produk merangkumi proses penaksiran risiko gangguan rangka-otot pekerjaan. Kegunaan dalam bidang ergonomik dan faktor manusia.

Monday, October 30, 2017

INTERAKSI MANUSIA-PEKERJAAN


Ergonomik memberi tumpuan terhadap sekurang-kurangnya lima faktor untuk keserasian manusia dengan pekerjaan. Ia merangkumi faktor manusia, kerja, teknologi, persekitaran dan organisasi.

Faktor manusia: ciri-ciri manusia merangkumi aspek anatomi, fisiologi, kinesiologi, biomekanik, psikologi dan kognitif.

Faktor kerja: ciri-ciri pekerjaan merangkumi proses, tatacara, protokol dan prosedur.

Faktor teknologi: ciri-ciri teknologi digunapakai untuk sesuatu pekerjaan. 

Faktor persekitaran: Persekitaran mikro iaitu persekitaran tempat bekerja cthnya ruangkerja, susun atur, pencahayaan dll. Persekitaran makro iaitu alam semulajadi.

Faktor organisasi: Pengurusan organisasi meliputi arahan pihak atasan, urustadbir, hubungan majikan dan pekerja, tingkahlaku pekerja, motivasi kerja, tekanan kerja, psikososial dan psikologi organisasi.

Saturday, October 28, 2017

Faktor risiko gangguan rangka-otot

Faktor risiko gangguan rangka-otot utama:
  • Postur janggal (awkward postures)
  • Pergerakan berulang-ulang (repetitives movement)
  • Kerahan tenaga tinggi (forceful exertions)
Postur janggal
Situasi bekerja memerlukan postur dan pergerakan aktif berupaya menyebabkan gangguan rangka-otot khususnya bahagian pinggang, bahu, lengan dan kaki. Kenapa empat anggota badan tersebut? kerana bahagian tersebut merupakan anggota badan yang paling dominan ketika aktiviti kendalian manual. Postur janggal termasuklah membongkok, memulas pinggang, tangan diangkat melepasi paras bahu dan posisi pergelangan tangan tidak neutral.
Pergerakan berulang-ulang
Pergerakan berulang-ulang menyebabkan kelesuan serat otot (muscles fiber). Kelesuan tersebut boleh menyebabkan kecederaan sama ada secara langsung melalui kerosakan otot atau secara tidak langsung melalui ketidakseimbangan otot ketika bekerja ketika pergerakan kerap. Biasanya faktor pergerakan berulang-ulang berkait rapat dengan postur janggal; cthnya, memulas pinggang. Aktiviti melibatkan pergerakan berulang-ulang walaupun ringan menyebabkan kelesuan otot terkumpul setempat (accumulated local muscle fatigue). Oleh itu, menganggarkan kelesuan otot terkumpul akibat beban kerja berulang adalah perkara yang perlu diberi perhatian untuk mencegah pekerja mengalami kecederaan rangka-otot.
Kerahan tenaga tinggi
Kerahan tenaga tinggi digambarkan sebagai magnitud kekuatan dibandingkan dengan keupayaan maksimum bahagian badan tertentu mengerah tenaga. Contohnya untuk menolak objek 80 kg memerlukan kerahan tenaga sebanding dengannya. Beban 80 kg adalah beban luaran (external load) manakala kerahan tenaga yang hendak menolak beban tersebut adalah beban dalaman (internal load). Corak pergerakan tidak selamat menyebabkan beban dalaman yang tinggi pada bahagian otot dan sendi tertentu berupaya menyebabkan kecederaan misalnya tekanan pada struktur tulang belakang. Aktiviti mengangkat, menolak dan menarik beban memberi tekanan mekanikal kepada bahu dan belakang khususnya.

Tuesday, September 26, 2017

Sumbangan ilmu

Assalamualaikum wbt
Baru-baru ini kita digemparkan dengan tragedi kebakaran sekolah tahfiz di Keramat yang menyebabkan 23 orang terkorban. Kejadian menyayat hati ini mendapat liputan meluas. NIOSH misalnya mengambil tanggungjawab untuk melihat aspek keselamatan di semua sekolah termasuk maahad tahfiz di seluruh negara. “Keselamatan anak-anak dan guru perlu diberi keutamaan dan ini tugas baru untuk NIOSH untuk bersama-sama kerajaan tentukan supaya sekolah di negara ini selamat dan mematuhi piawaian keselamatan” (Berita Harian Online).
Pada saya ia suatu yang amat serius dan dikesali kerana peristiwa sesumpama ini bukan sekali terjadi melibatkan sekolah tahfiz dan agama, tetapi telah berlaku berulang kali. Insiden paling tragis pada tahun 1989 melibatkan 27 jiwa terkorban. Kemudian kes-kes kebakaran melibatkan institusi ini terus kedengaran. Apakah punca tragedi? Di manakah silapnya? Justeru, saya bersama rakan-rakan (Amir & Azam) menyahut saranan untuk turut menyumbang secara kecil terhadap maahad tahfiz.
Pertemuan pertama dengan penyelaras maahad tahfiz membincangkan skop sumbangan yang boleh diberikan. Dalam konteks ini, kami merancang untuk memberi taklimat dan latihan kepada pihak pengurusan maahad dan pelajar. Selain itu aspek audit dan pemeriksaan sekitar sekolah juga akan dilakukan untuk mengenalpasti potensi risiko kebakaran yang wujud. Khidmat nasihat dan bimbingan terhadap  keselamatan dan kesihatan diberikan secara percuma. InsyaAllah.

Monday, July 17, 2017

Informasi mengangkat beban Fuji Xerox

Sedang membelek-belek kertas untuk dicetak, terpandang info terpampang pada kotak kertas tersebut. Informasi berkenaan kendalian manual (manual handling). Anggaran berat sekotak kertas adalah 12.5 kg. Jika kita masih ingat beban ideal yang boleh diangkat oleh individu tanpa menyebabkan kecederaan adalah 23 kg (Waters, 1994). Bermaksud tiada faktor risiko beban menjauhi badan, pulasan pinggang, membongkok, keadaan pemegang yang baik dll. Dengan kata lain beban 23 kg boleh diangkat pada kedudukan buku lima (knuckles). 
Namun, sekiranya beban menjauhi badan, kedudukan semakin rendah dll., ia menyebabkan beban yang boleh dikendali semakin berkurang. Pada kedudukan kotak di lantai dan sedikit jauh dari kedudukan kaki menyebabkan individu perlu membongkok untuk mengangkat. Keadaan ini meningkatkan risiko kecederaan belakang. Carta had beban boleh diangkat menunjukkan beban selamat pada kedudukan tersebut adalah antara 5 hingga 10 kg sahaja. Beban 12.5 kg melebihi beban selamat yang boleh diangkat dengan keadaan postur sebegitu. Oleh yang demikian langkah-langkah mengangkat secara selamat perlu dilakukan. Syarikat Fuji Xerox Malaysia mensyorkan mengangkat kotak dengan keadaan lutut dibengkokkan, bukan belakang.
Maklumat bermanfaat ini sekurang-kurangnya memberi penjelasan mengenai tatacara mengangkat beban dengan selamat.

Open Day Universiti Selangor

Pada 20 hingga 22 Mei 2017 telah berlangsung hari terbuka Universiti Selangor di kampus Shah Alam. Hari terbuka ini julung-julung kalinya diadakan melibatkan kerjasama pelbagai pihak. Pelbagai program menarik dan bermanfaat tersedia kepada pengunjung merangkumi pameran fakulti-fakulti, demonstrasi rekacipta, saringan kesihatan percuma dan aktiviti melibatkan pengunjung dewasa dan kanak-kanak.
Program Keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH Unisel) terlibat sama dalam menjayakan hari terbuka ini. Terdapat pameran berkaitan dengan keselamatan industri, ujian kesihatan dan penerangan berkaitan skop OSH di Unisel. Alhamdulillah ramai yang berkunjung ke booth OSH Unisel. Booth OSH Unisel menyediakan khidmat ujian Phalen untuk mengenalpasti gejala carpal tunnel (penyakit rangka-otot melibatkan pergelangan tangan), kuiz berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan demo rawatan awal mangsa pengsan.
Gejala carpal tunnel sering berlaku di kalangan individu yang kerap menggunakan tangan secara melampau seperti menaip dan pergerakan tangan berulang-ulang memberi kesan terhadap saraf median tangan. Saraf median tersepit akibat selaput yang menebal atau pengumpulan cecair di kawasan tersebut. Individu yang menghidapi penyakit carpal tunnel menunjukkan tanda-tanda seperti rasa kebas, kesemutan (tingling) dan tangan tidak berupa menggenggam. Ujian Phalen bukan untuk diagnosis penyakit rangka-otot pergelangan tangan tetapi lebih kepada untuk melihat tanda-tanda sekiranya individu menghidapi penyakit ini. Ujian terperinci perlu dibuat untuk  memastikan ia positif.
Manakala demo rawatan awal mangsa pengsan melibatkan patung (dummy)  yang diletakkan berbaring di depan booth. Ia merupakan daya penarik kepada pengunjung melihat susuk tubuh terbaring. Ada yang bertanyakan sebab dan tidak kurang pengunjung yang bergambar dengan patung. Saya berkesempatan menunjukkan cara mengurus mangsa yang pengsan akibat kemalangan. Pengunjung begitu perihatin mendengar penerangan dan demo yang saya lakukan.
Secara ringkas, hari terbuka Unisel memberi manfaat kepada pengunjung mengenai aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan khususnya melibatkan penyakit carpal tunnel dan lain-lain aspek kesihatan pekerjaan.

Friday, May 12, 2017

Sakit belakang: nampak remeh tapi signifikan

Perkongsian ringkas mengenai sakit belakang. Sakit belakang merupakan penyakit rangka-otot yang paling lazim berlaku di kalangan pekerja khususnya yang berumur 45 tahun ke bawah; dengan kata lain golongan belia yang masih aktif bekerja. Perkongsian slid taklimat ringkas yang boleh dimanfaatkan bersama-sama pekerja ketika sesi mesyuarat keselamatan dan kesihatan pekerjaan atau sesi ‘toolbox talk‘. Klik pautan di bawah untuk muat turun:

Monday, May 8, 2017

OSH Unisel Intake

Peluang melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Unisel. 
Mohon sekarang di http://apply.unisel.edu.my
Kelebihan program:
- diiktiraf oleh MQA dan KPT
- kemudahan pinjaman/biasiswa
- pendedahan industri 
- pensyarah berpengalaman
- yuran berpatutan
- kemudahan asrama & tempat tinggal
- lokasi kampus strategik: Shah Alam
- ciri-ciri city campus
- aktiviti pelajar aktif (http://osheunisel.wordpress.com)
- silibus dan modul dikemaskini
- pembelajaran teori dan praktikal

Ayuh sertai kami. Datang ke kampus kami di Shah Alam untuk mendapatkan maklumat terkini secara bersemuka. Dapatkan khidmat nasihat mengenai prospek kerjaya, struktur program dan lain-lain.


Wednesday, May 3, 2017

Kolokium sains kesihatan Universiti Selangor

Seorang lagi pelajar seliaan saya berjaya membentangkan hasil penyelidikan beliau dengan baik. Beliau menyiasat faktor mengangkat dan meletak di kalangan pekerja pemasangan automotif menggunakan pendekatan penilaian berdasarkan rumus mengangkat NIOSH. Prevalen gangguan rangka-otot juga dikenalpasti. 



Saturday, April 29, 2017

Kolokium sains kesihatan Universiti Selangor

Pada 28 April 2017 yang lalu berlangsung kolokium Sains Kesihatan Universiti Selangor. Kolokium ini menjadi platform kepada mahasiswa membentangkan hasil penyelidikan mereka bersama warga universiti dan umum. Sehubungan dengan itu mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kepujian) turut tidak melepaskan peluang berkongsi dapatan penyelidikan mereka. Salah seorang daripadanya adalah pelajar seliaan saya yang mempersembahkan hasil penyelidikan beliau berkisar tentang penaksiran risiko gangguan rangka-otot di sektor automotif dalam negara. Kaedah taksiran yang digunakan adalah Analisis Pergerakan Kerja dan Tugas atau dalam bahasa inggerisnya 'Work Movement Task Analysis'. Kaedah ini dibangunkan oleh saya dan telah terbukti berkesan dalam penaksiran risiko gangguan rangka-otot di lapangan. 


Analisis pergerakan kerja dan tugas sesuai digunapakai sebagai pendekatan proaktif dalam menangani isu-isu ergonomik tempat kerja. Ia sejajar dengan program SOHELP (Systematic occupational health enhancement level programme) yang baru-baru ini telah dilancarkan. Moga WMTA suatu ketika nanti boleh dijadikan medium untuk penaksiran risiko gangguan rangka-otot pekerjaan dalam program SOHELP. 

SOHELP bermatlamat untuk membudaya nilai-nilai kesihatan pekerjaan di kalangan pengiat industri secara tersusun; merangkumi isu kebisingan tempat kerja, ergonomik dan pengurusan bahan kimia. Oleh yang demikian kaedah penaksiran risiko gangguan rangka-otot pekerjaan yang telah dihasilkan ini bertepatan dengan masa dan gagasan yang diwacanakan.

Friday, April 21, 2017

Sakit Belakang, penyakit semulajadi semua orang?


Gangguan rangka-otot adalah masalah yang kesihatan yang melibatkan kesan tidak baik pada otot, tendon, ligamen, saraf atau lain-lain tisu lembut dan sendi (HSE, 2007). Manakala Hagberg, et al., (1995) menyatakan bahawa gangguan rangka-otot yang disebabkan pekerjaan merangkumi pelbagai masalah otot, tendon atau saraf yang disebabkan oleh kerja-kerja rumit. Iaitu pekerjaan yang memerlukan tenaga yang tidak berlebihan dan postur tubuh badan yang tidak semulajadi. Bahagian belakang badan, leher dan anggota badan atas adalah yang berisiko tinggi untuk mendapat gangguan tersebut.

Sakit belakang bawah (SBB) ditakrifkan sebagai kesakitan yang kronik atau akut di kawasan lumbosacral, punggung atau di kawasan kaki ke atas. Banyak kajian berkaitan sakit belakang khasnya SBB telah dilaksanakan (Burdorf and Sorock, 1997; Hoogendoorn, et al., 1999). SBB adalah punca lazim hilang upaya bekerja untuk pekerja yang berumur di dalam lingkungan 45 tahun dan ke bawah. Jika dilihat, lingkungan umur 45 tahun dan ke bawah adalah golongan yang masih aktif bekerja, maka apa yang dapat difahami adalah terdapatnya kaitan SBB dengan pekerjaan. Hal ini terbukti apabila dimaklumi bahawa kadar pampasan dan pembiayaan perubatan yang diberikan kepada pesakit SSB adalah paling tinggi berbanding penyakit lain. Di Amerika Syarikat sahaja, jumlah kos tahunan SSB melebihi 100 juta Dollar Amerika (Katz, 2006).

Di Malaysia, berdasarkan kajian di sektor pembuatan automotif menunjukkan kelaziman SBB dalam tempoh 12 bulan adalah tinggi di bahagian pemasangan rangka kereta di kalangan pekerja pengeluaran iaitu 87.5% (Anuar et al., 2010). Manakala kajian gangguan rangka-otot belakang badan yang melibatkan pekerja perladangan kelapa sawit pula menunjukkan peratusan sebanyak 67.0%.

Ferguson dan Marras (1997) mencadangkan mekanisma bersangkutan dengan sakit belakang bawah menurut faktor masa. Mereka berhujah bahawa kesakitan sakit belakang bawah bermula dengan pekerjaan bebanan fizikal melampau, gejala ketidakselesaan, tanda/simptom, gangguan (kecederaan atau kesakitan), insiden, kecederaan hari terbatas, kecederaan masa hilang dan hilang upaya. 

Berdasarkan urutan ini, pekerja pada mulanya bekerja dengan bebanan fizikal berisiko seperti berat melampau, postur janggal dan pergerakan berulang-ulang. Pekerjaan tersebut membuatkan pekerja merasa tidak selesa. Dari masa ke semasa, mereka dapat merasai tanda-tanda awal sakit belakang seperti sengal-sengal pinggang. Tetapi sekiranya tiada sebarang langkah pembaikan dibuat, akan tiba masa pekerja akan merasai kesakitan belakang yang sangat kerap dan semakin jelas. 

Disebabkan gangguan tersebut, mereka melaporkan ke klinik atau hospital. Dignosis pengamal perubatan menjelaskan bahawa mereka mengidap penyakit rangka-otot di bahagian belakang badan bawah. Pengamal perubatan juga menasihatkan pekerja supaya mengelakkan diri kerja-kerja berisiko tinggi yang boleh menyebabkan penyakit menjadi semakin kritikal. Tetapi, jika pekerja masih bekerja dalam keadaan berisiko, penyakit ini menjadi semakin serius dan menyebabkan mereka terpaksa mengambil cuti dan berjumpa pengamal perubatan lagi. 

Keadaan tersebut menyebabkan pengamal perubatan terpaksa mensyaratkan pekerja untuk berehat panjang kerana dikuatiri penyakit menjadi semakin teruk jika terus bekerja. Disebabkan faktor itu, keadaan ini menyebabkan kecederaan masa hilang terjadi. Penyakit makin serius jika tidak dirawat dan mereka bakal menghadapi gejala ketidakupayaan. Pekerja mungkin menjadi OKU jika kecederaannya itu menyebabkan hilang upaya kekal. 

Keadaan ini menyebabkan pekerja menghadapi pelbagai kesusahan dan cabaran dari segi sumber mata pencarian, pergerakan dan kehidupan sehari-hari. Secara tidak langsung menyebabkan mereka mengalami tekanan perasaan dan akhirnya boleh mengakibatkan gejala saikologi pula.

Sebagai kesimpulan, faktor sakit belakang bawah tidak boleh dipandang enteng. Sebelum penyakit terjadi, maka moleklah kiranya kita memastikan keadaan tempat kerja dan tatakerja berada dalam zon selamat. Jika sudah terkena, ibarat sudah terantuk baru terngadah, tiada apa yang perlu dikesalkan lagi.

Rujukan

Anuar, I., Nurulakhmar, AS., Mazrura, S. and Azhar, AH. 2010. Study on backpain and the contributing factors among workers in automotive industry. Journal of Community Health 16 (2).

Burdorf, A. and Sorock, G. 1997. Positive and negative evidence of risk factors for back disorders. Scandinavian Journal of Work, Environment and Health 23(4):243-256.

Ferguson SA, Marras WS. A literature review of low back disorder surveillance measures and risk factors. Clin Biomech 1997;12:211–226.

Hagberg, M., Silverstein, B., Wells, R., Smith, M. J., Hendrick, H. W., Carayonn, P. and Perussen, M. 1995. Work related musculoskeletal disorders (WMSDs): a reference for prevention. London. Taylor and Francis.

Hoogendoorn WE, van Poppel MN, Bongers PM, Koes BW, Bouter LM. 1999. Physical load during work and leisure time as risk factors for back pain. Scand J Work Environ Health 25(5):387-403.

HSE Executive, 2007

Katz, JN. 2006. Lumbar disc disorders and low-back pain: socioeconomic factors and consequences. J Bone Joint Surg Am, 88:21-4.
Pendekatan rekabentuk selamat

1. Keserasian (Achieve fit)
2. Kebolehcapaian (Ensure reach)
3. Kelegaan selamat (Provide safe clearance)
4. Mencegah sangkut atau perangkap (Avoid entrapment)
5. Pengasingan (Provide exclusion)

Sumber: 

Kroemer K. H. E. 2006. Extra-odinary ergonomics - How to accommodate small and big persons, the disabled and elderly, expectant mothers, and children. CRC Press. New York. US.

Pernahkan kalian mengalami keadaan ini:


Anda sedang membuat suatu pekerjaan, tiba-tiba menerima panggilan telefon daripada rakan atau keluarga. Setelah tamat perbualan, anda ingin kembali kepada pekerjaan yang sedang dilakukan tadi, tetapi anda lupa. Puas cuba mengingati kembali, namun gagal. Waktu masuk tidur, tiba-tiba teringat kembali "Ooo rupanya aku sedang menyapu tadi.." mengeluh sambil membayangkan batang penyapu masih tersandar di belakang pintu.

Apa yang sedang anda alami adalah gejala 'luput ingatan', iaitu salah satu kesilapan yang sering dilakukan oleh manusia. Terutamanya ketika dibebani banyak tugas/kerja.

Ralat manusia secara asas terbahagi kepada tiga iaitu slip, luput dan salah (Slip, lapse & mistake).

Peri pentingnya mengetahui tahap dan jenis kesilapan manusia supaya penyelidik khususnya (Ahli forensik ergonomik) untuk mengetahui sebab-sebab kemalangan boleh berlaku selain dapat membentuk cadangan proaktif bagi menangani kemalangan.

Wednesday, April 5, 2017

Penaksiran risiko ergonomik (Ergonomic risk assessment)

Penaksiran risiko ergonomik bermatlamat untuk mengenalpasti, menganggar dan menilai risiko gangguan rangka-otot yang wujud di tempat kerja. Ia merangkumi penaksiran stesenkerja, proses kerja dan ciri-ciri individu pekerja. Prosedur penilaian menyediakan siasatan terperinci beban kerja untuk satu-satu jenis pekerjaan. Terdapat dua jenis penaksiran risiko ergonomik:
  1. Penaksiran risiko proaktif, dan
  2. Penaksiran risiko berdasarkan laporan PERKESO atau perubatan


Saturday, April 1, 2017

Titik Semakan Ergonomi - Ergonomic Checkpoints (ILO)

Titik semakan ergonomi (Ergonomic Checkpoints) adalah satu inisiatif pertubuhan buruh antarabangsa (ILO) yang diterbitkan pada 15 Julai 2010. Titik semakan ergonomi (TSE) bermatlamat untuk mengurangkan risiko kemalangan dan penyakit pekerjaan sekaligus memperbaiki keadaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. TSE merangkumi 132 penyelesaian terhadap masalah-masalah ergonomik di tempat kerja. Menariknya penyelesaian yang dicadangkan oleh TSE adalah praktikal. Keunikan TSE menyediakan illustrasi menarik memudahkan kefahaman pengguna terhadap elemen cadangan yang dilontarkan. Umumnya TSE terbahagi kepada beberapa bahagian utama iaitu
  1. penyimpanan dan pengendalian barang 
  2. perkakasan tangan 
  3. keselamatan jentera 
  4. rekabentuk stesenkerja
  5. pencahayaan premis
  6. kawalan bahan dan agen berbahaya
  7. kelengkapan kebajikan
  8. organisasi kerja
Titik semakan ergonomi telah diterjemah kepada pelbagai bahasa termasuklah bahasa melayu. Versi bahasa melayu boleh didapati di kedai-kedai buku yang dikenali seperti MPH. 

Muat turun Titik semakan ergonomi versi Bahasa Inggeris di sini:


Monday, March 20, 2017



Penaksiran ergonomik industri mahu tidak mahu perlu merujuk kepada keperluan undang-undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) adalah akta yang menjadi rujukan untuk sebarang isu keselamatan dan kesihatan tempat kerja. Dalam konteks ergonomik dan faktor manusia, seksyen 15, 17 & 20 sering menjadi rujukan utama. Walaubagaimanapun, akta ini merupakan perundangan berkonsepkan pengaturan kendiri dan umum. Jadi, peruntukan dan arahan yang dinyatakan bersifat abstrak dan tidak spesifik. Selalunya akta ini disokong dengan perundangan yang lebih spesifik seperti Akta Kilang dan Jentera 1967 (Akta 139). Akta ini mempunyai pendekatan lebih tertumpu dan boleh menjadi justifikasi kuat bersama peruntukan undang-undang dan piawaian sedia ada. Antara piawaian yang boleh menjadi rujukan; Piawaian SIRIM (Piawaian Malaysia), piawaian British, Australia dan lain-lain. Sebagai contoh piawaian MS ISO 9241-910:2012 menjurus terhadap faktor interaksi manusia-sistem dalam ergonomik.

Boleh muat turun pindaan akta kilang dan jentera di sini: Akta Kilang dan Jentera 1967

DAN muat turun akta keselamatan dan kesihatan di sini: Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 

Friday, February 17, 2017

Pada 14 dan 15 Februari 2017 yang lalu, sesi penaksiran risiko ergonomik dilaksanakan di lynas Malaysia Sdn Bhd bertempat di kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan. Program ini bermatlamat untuk mengenalpasti faktor risiko yang berpotensi menyebabkan gangguan rangka-otot pekerjaan dalam skop pekerjaan kendalian manual di beberapa sektor dan proses rutin dan kritikal premis. Penilaian risiko diketuai oleh Prof. Shukor dibantu oleh saya dan rakan.
Lynas Malaysia Sdn. Bhd. merupakan sebuah loji pemprosesan bahan nadir bumi yang terkandung dalam tanah. Produk akhir yang dihasilkan digunapakai untuk industri elektrik dan elektronik yang amat penting dalam teknologi termaju masakini.
Program meliputi empat peringkat iaitu, taklimat tugas merangkumi skop penilaian, lokasi dan individu pekerja yang terlibat. Kemudian disusuli dengan penilaian lapangan merangkumi analisis tugas, pemerhatian dan rekod aktiviti pekerjaan yang berisiko. Sesi temubual bersama pekerja dilaksana bagi  memastikan maklumat-maklumat penting diperolehi terus daripada mereka. Respons mereka penting untuk menguatkan dapatan pemerhatian dan analisis tugas. Alhamdulillah para pekerja memberi kerjasama yang amat baik.
Kesimpulannya, program penaksiran ergonomik merupakan salah satu langkah proaktif untuk mengurangkan risiko pekerjaan di industri khususnya melibatkan isu kesihatan pekerjaan. Pihak premis yang telah melaksanakan program penaksiran ergonomik dapat menjimatkan kos rawatan dan kecederaan pekerjaan mencapai 70% selepas intervensi ergonomik dilakukan. Pendek kata, program sebegini  memberi serampang dua mata kepada pihak syarikat dalam meningkatkan produktiviti sekaligus reputasi cemerlang tercapai.

Saturday, January 21, 2017

Luput (lapse) dalam Ralat Manusia

Luput atau terlupa (lapses) ialah kategori ralat manusia berlaku apabila keupayaan kognitif terbeban. Tumpuan fikiran terpaksa membahagi kepada beberapa pekerjaan lain atau terganggu disebabkan suatu faktor sehingga individu terlupa peringkat atau proses.

Contoh mudah:

1) Terlupa mengunci pintu kereta.
2) Tak ingat lokasi kita meletak kunci kereta.

Contoh dalam persekitaran industri:

Proses silo A dan silo B; operator di bilik kawalan sedang memberi tumpuan terhadap proses pengosongan silo berdasarkan prosedur. Namun, terganggu dengan isyarat kerdipan amaran panel silo B yang menyebabkan operator terlupa menutup injap no.2 ketika proses sedang berjalan.

Luput sering menjadi punca yang menyebabkan kemalangan berlaku dalam situasi kritikal selamat. Selain itu, ralat 'tersilap' juga menjadi penyumbang kepada kemalangan.

Notakaki:

Ralat manusia - human error
Luput - lapse
Silap - slip

#ralatmanusia #humanerror #faktormanusia #humanfactors #lapse #luput #lupa #cognitivedemand


Wednesday, January 18, 2017

ANALISIS TUGAS

Apakah yang kita tahu mengenainya? Bagaimana hendak laksana? Pendekatan mudah?

Analisis tugas adalah huraian pekerjaan secara terperinci yang dipecahkan kepada tugas-tugas kecil. Masih ingat KERJA sebagai sistem? Maka, sistem boleh dipecahkan kepada sub-sistem. Setiap sub-sistem diperincikan kepada elemen yang hendak kita kenalpasti spt faktor risiko, sela-masa dll. Terdapat pelbagai pendekatan analisis tugas seperti analisis tugas berhirarki dan analisis tugas kognitif.


Lampiran rajah: Task analysis - the ergonomics kit for general industry, Dan MacLeod 2nd Edition, 2006. M/s 290

Wednesday, January 11, 2017

Penilaian Ergonomik

Saya boleh pecahkan penilaian ergonomik kepada dua, iaitu penilaian ergonomik klasik dan penilaian ergonomik moden.


Ergonomik klasik 

Penilaian ergonomik klasik tertumpu kepada aspek fizikal manusia. Juga dipecahkan kepada dua, iaitu;

  • Penilaian hubungkait faktor pekerjaan dengan prevelen gejala gangguan rangka-otot. Dapatan penilaian ini melihat sebab-akibat antara kedua-dua faktor. Ia bermanfaat dalam mengenalpasti langkah kawalan bersesuaian untuk meminimum risiko prevelen. Pendekatan hirarki kawalan risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan digunapakai.
  • Penilaian yang menyiasat ciri-ciri biomekanik dan kinesiologi terhadap fisiologi tubuh seperti kerahan tenaga, degupan jantung, ambilan oksigen dll. Dapatan penilaian ini bermanfaat sebagai pengkalan data berbentuk statistik untuk kegunaan rekabentuk industri. Nilai persentil misalnya diketahui untuk mengenalpasti ciri-ciri rebentuk mengikuti fungsi pekerjaan dan pengguna.

Ergonomik moden

Memasuki fasa kognitif, mental, psikososial dan pengurusan organisasi. Ia lebih bersifat menyeluruh (holistik) yang merangkumi aspek mikro dan makro ergonomik.